Sunday, September 9, 2012

MENGAPA KANAK-KANAK  PERLU BERMAIN?

Ramai ibubapa sering mengajukan soalan, "Mengapa anak-anak di peringkat awal asyik bermain sahaja dan apabila diminta membaca buku mereka cuba menolak?" Di kalangan ibu bapa yang kurang memahami perkembangan dan sifat semulajadi kanak-kanak menganggap bermain hanya sia-sia dan membuang masa sahaja. Sebenarnya sifat naluri semula jadi kanak-kanak suka bermain. Pada peringkat ini mereka suka meneroka, ingin tahu dan masih di alam fantasi. Dengan bermain pelbagai persoalan di dalam kepala mereka akan terjawab. Sebagai guru, ibu bapa ataupun siapa sahaja perlu tahu sifat kanak-kanak peringkat prasekolah. Antaranya adalah:Bermain dapat membantu perkembangan kanak-kanak dalam semua aspek dan bermain juga menekankan kepada aspek pembelajaran sebagai proses aktif dan interaksi, (Gestwick, 1995). Gestwick juga menegaskan bermain menyediakan semua ruang perkembangannya dan bermain ditekankan sebagai proses pembelajaran yang aktif dan menarik.

Selain itu juga melalui permainan boleh membantu di dalam membangun struktur kognitif  dan kanak-kanak akan memperolehi informasi yang lebih banyak sehingga pengetahuan dan pemahamannya menjadi lebih luas dan lebih mendalam. Informasi baru yang diterima ternyata berbeza dengan apa diketahuinya selama ini, seterusnya kanak-kanak dapat mengubah informasi yang lama sehingga ia mendapatkan pemahaman atau pengetahuan yang lebih baru. Jadi melalui permainan kecil, struktur kognitif kanak-kanak terus diperkaya, diperdalam, dan diperbaharui sehingga menjadi sempurna. Maka permainan kecil dilihat boleh menyumbang kepada objektif tersebut. Permainan kecil adalah alat membantu dalam proses perkembangan motor kasar mereka. Perkembangan motor kasar adalah penting kerana ia menyumbang kepada penglibatan kanak-kanak dalam aktiviti sukan pada masa hadapan (Stodden, Goodway, Langendorfer, Roberton, Rudisill, Garcia, & Garcia, 2008; Harter, 1999). Kanak-kanak yang tidak mempunyai kecekapan dalam perkembangan motor kasar tidak mampu melakukan tugasan dengan baik berkemungkinan akan tercicir dalam kecekapan perkembangan motor kasar (Gallahue, 2006; Harter, 1978; Rudisill, 1989; Ulrich, 2000; Santrock, 2011). Pengukuran komponen perkembangan motor sering dijadikan asas untuk menilai tahap perkembangan berdasarkan umur kronologi seseorang individu. Permainan kecil bukan sahaja  menyeronokkan, tetapi ianya juga alat yang membantu kanak-kanak belajar mengenal diri sendiri dan dunia persekitarannya (Charlotte Bird, 2004).

Apa Pendapat Tokoh Perkembangan Kanak-kanak terhadap bermain?

Beberapa tokoh pendidikan memberi pandangannya berkaitan bermain antaranya adalah:
i. Froebel (1782-1852) mewujudkan program kindergarten 1 di Jerman untuk kanak-kanak 4 hingga 5 tahun berkonsepkan 'bermain sambil belajar'. Beliau percaya proses pembelajaran yang paling berkesan adalah sesuatu aktiviti yang mengembirakan. Bermain adalah salah satu aktiviti yang menggembirakan. Dengan bermain kanak-kanak dapat meningkatkan kemahiran.

ii. John Dewey (1852-1859) menggalakkan proses pembelajaran melalui prinsip belajar melalui bermain. Aspek keseronokan adalah hak setiap kanak-kanak.

iii. Piaget pula menyatakan bermain memberi kesan ke atas perkembangan kognitif. la terbukti mempunyai perkaitan dengan proses pembinaan pengetahuan melalui interaksi dan persekitarannya.

iii. Soderman (1984) menyatakan, kanak-kanak empat hingga lima tahun mempunyai keperluan asas untuk bermain. Masanya sama ada daripada segi kualiti ataupun kuantiti dihabiskan untuk bermain.

Oleh itu berilah peluang sebanyak mungkin supaya kanak-kanak dapat bermain sepanjang awal usia mereka. Janganlah peluang keseronokan ketika usia muda mereka disekat. Imam Al-Ghazali pernah menyatakan: "Hendaknya anak kecil diberi kesempatan bermain. Melarangnya bermain dan menyibukkannya dengan belajar terus akan mematikan hatinya, mengurangi kecerdasannya dan membuatnya jemu terhadap hidup, sehingga dia akan sering mencari alasan untuk membebaskan diri daripada keadaan sesak itu."  Dalam hal ini, biarlah anak kecil bebas melakukan apa yang mereka suka, asalkan berfaedah untuknya serta tidak memudaratkan diri dan orang lain, namun kegiatan itu perlu dipastikan agar tidak melanggar syariat Islam.

2 comments:

aniem said...

salam cikgu.. salam kenal dr saya. Hanya ingin bertanya cikgu masri pernah mengajar di sek keb bt 9 ke? saya punya cikgu di sek rendah dulu yang sama namanya dgn cikgu.. maaf bertanya. w/pun tahniah atas kandungan blog ini.. sgt bermanafaat

aniem said...

salam cikgu.. salam kenal dr saya. Hanya ingin bertanya cikgu masri pernah mengajar di sek keb bt 9 ke? saya punya cikgu di sek rendah dulu yang sama namanya dgn cikgu.. maaf bertanya. w/pun tahniah atas kandungan blog ini.. sgt bermanafaat